Latar Belakang

PERKIM Bahagian Negeri Terengganu telah pun dilancarkan dengan rasminya oleh Yang Teramat Mulia Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada hari Jumaat, 14 Mac 1975 bersamaan 1 Jamadilawal 1394 H di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu.

Y.A.B. Dato’ Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu telah dipilih sebagai pengerusinya yang pertama dan setiausahanya Y.Bhg. Dato’ Perwira Negara (Dato’ Hj. Wan Salleh Mahmood) yang pada waktu itu memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Jumaah Bandaran Kuala Terengganu.

Semasa Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Mokhtar Ahmad berkhidmat sebagai pengerusi, banyak sumbangan yang dicurahkan kepada PERKIM Bahagian Negeri Terengganu dalam bentuk bantuan kewangan tahunan kerajaan bagi projek-projek dakwah pengislaman, bantuan-bantuan kebajikan dan sosial termasuk pemberian modal kepada saudara-saudara kita untuk menjalankan perniagaan dalam kehidupan baru sebagai orang Islam. Jasanya yang paling besar ialah meluluskan sebidang tanah untuk PERKIM Bahagian Negeri Terengganu yang terletak di dalam Bandar Kuala Terengganu.

Y.A.B Dato’ Seri Amar Di Raja Tan Sri Hj. Wan Mokhtar Ahmad telah mengundurkan diri sebagai Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Terengganu dalam tahun 1980 dan jawatan tersebut di ambil alih oleh Dato’ Perwira Negara (Dato’ Hj. Wan Salleh Mahmood). Generasi kepimpinan PERKIM Terengganu selepas era Allahyarham Dato’ Perwira Negara diteruskan legasinya oleh Dato’ Setia Bakti, Dato’ Haji Ismail Yahya, Dato’ Haji Alwi Mohamad dan juga Prof Dr Haji Ramle Abdullah hingga sekarang.

Cawangan yang bernaung di bawah PERKIM Bahagian Negeri Terengganu iaitu:

  1. PERKIM Cawangan Kuala Terengganu
  2. PERKIM Cawangan Besut
  3. PERKIM Cawangan Marang
  4. PERKIM Cawangan Bukit Payung
  5. PERKIM Cawangan Kuala Berang
  6. PERKIM Cawangan Setiu
  7. PERKIM Cawangan Tok Hakim
  8. PERKIM Cawangan Kuala Nerus
  9. PERKIM Cawangan Kemaman
  10. PERKIM Cawangan Daerah Dungun
  11. PERKIM Cawangan Air Putih
  12. PERKIM Cawangan Kota Putera
  13. PERKIM Cawangan Wanita Negeri